KUCHING: Dua kakitangan sebuah hotel di sini dikejarkan ke hospital selepas sesak nafas susulan kebakaran stor penyimpanan bahan kimia di premis itu, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, namun kedua-dua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan awal pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 5.34 petang.
Pasukan HAZMAT dari BBP Tabuan Jaya turut digerakkan bagi membantu operasi di lokasi.
Beliau berkata, enam tong berisi bahan kimia Calcium Hypochlorite Hydrated Mixture iaitu bahan yang digunakan dalam proses rawatan air berkapasiti 50 liter setiap satu disimpan dalam stor itu dengan dua daripadanya musnah dalam kebakaran.
"Pasukan HAZMAT menjalankan pengesanan gas bagi menilai tahap kemerbahayaan bahan kimia sebelum menstabilkan ruang stor melalui semburan air sehingga bacaan gas kembali ke paras normal," katanya.
























