KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menganugerahkan ganti rugi lebih RM430,000 kepada seorang balu selepas mendapati suami wanita itu meninggal dunia akibat kecuaian perubatan susulan pembedahan kanser perut yang radikal di Hospital Shah Alam.
Pesuruhjaya Kehakiman, Shoba Dorai Rajah, memutuskan bahawa Allahyarham Syed Mohd Gawi Syed Agil tidak dimaklumkan mengenai satu pilihan rawatan yang diiktiraf dan kurang invasif, sebelum doktor meneruskan pembedahan membuang keseluruhan perut dan sebahagian daripada saluran makanan (esofagus) beliau.
Saman itu difailkan oleh balu Syed Mohd Gawi, Nornahaniah Mohd Embong selaku pentadbir harta pusaka Allahyarham dan bagi pihak tanggungan arwah, terhadap kerajaan serta 14 doktor.
Allahyarham menjalani pembedahan major pada 13 Mei 2020 bagi membuang keseluruhan perut atau total gastrectomy dan sebahagian saluran makanan (distal oesophagectomy) selepas disahkan menghidap kanser peringkat awal berhampiran bahagian pertemuan kedua-dua organ itu (gastro-oesophageal junction).
Bagaimanapun, bapa kepada lima anak itu kekal terlantar di hospital selama 63 hari kerana mengalami pelbagai komplikasi, termasuk koyakan pada esofagus, pendarahan, jangkitan, serta terpaksa menjalani sejumlah prosedur invasif berulang kali.
Allahyarham kemudian disahkan meninggal dunia pada 15 Julai 2020.
Nornahaniah mendakwa bahawa doktor gagal mendedahkan mengenai endoscopic resection, iaitu pilihan rawatan yang diiktiraf dan kurang invasif, sebelum mengesyorkan pembedahan radikal serta mengubah perancangan pembedahan tanpa mendapatkan persetujuan termaklum yang sewajarnya.
Selain itu, beliau mendakwa teknik pembedahan yang cuai serta kelewatan dalam menangani komplikasi selepas pembedahan, telah menyumbang secara material kepada kemerosotan keadaan suaminya sehingga membawa kepada kematian.
Pihak defendan bagaimanapun menafikan berlaku kecuaian, selain mendakwa pembedahan serta rawatan susulan terbabit dilaksanakan mengikut amalan perubatan yang diterima pakai dan pesakit memberi persetujuan selepas diberikan penjelasan mengenai risiko prosedur berkenaan.
Shoba berkata, mahkamah mendapati saksi pihak pembelaan mengaku ketika perbicaraan bahawa endoscopic resection adalah satu pilihan rawatan yang diiktiraf dan sepatutnya dibincangkan dengan pesakit terbabit.
Namun, tiada bukti menunjukkan alternatif rawatan itu pernah dikemukakan kepada Allahyarham sebagai pilihan sebenar.
"Seorang pesakit yang munasabah akan menganggap ketersediaan prosedur kurang invasif sebagai maklumat penting sebelum membuat keputusan sama ada mahu menjalani pembedahan membabitkan pembuangan keseluruhan perut dan sebahagian esofagus.
"Defendan tidak menasihati beliau mengenai ketersediaan endoscopic resection sebagai satu pilihan rawatan.
"Perkara itu memadai, secara tersendiri, untuk membuktikan liabiliti atas kecuaian," katanya dalam alasan penghakiman bertarikh 13 Julai lalu.
Mahkamah turut mengambil maklum bahawa pemeriksaan patologi berulang selepas pembedahan, tidak menemui sebarang baki tumor dalam spesimen perut yang dibuang ketika pembedahan.
Selain itu, mahkamah mendapati doktor gagal mendapatkan persetujuan termaklum yang sewajarnya selepas menukar
Mahkamah juga mendapati doktor gagal mendapatkan persetujuan termaklum yang sewajarnya selepas menukar pelan pembedahan daripada proximal gastrectomy kepada total gastrectomy.
Mahkamah memutuskan bahawa alasan perubahan itu, peningkatan risiko berkait prosedur lebih meluas dan implikasi jangka panjangnya tidak dijelaskan secukupnya kepada pesakit berkenaan.
Mengenai pembedahan itu pula, mahkamah mendapati koyakan intra-operative pada esofagus arwah berlaku akibat kekurangan kemahiran dan penjagaan yang munasabah ketika pemasangan stapler pembedahan.
Komplikasi itu menyebabkan pakar bedah terpaksa menukar prosedur kepada thoracotomy yang tidak dirancang dengan bahagian dada perlu dibuka dan paru-paru kiri pesakit itu collapsed bagi melengkapkan pembedahan berkenaan.
Hakim memutuskan bahawa kecederaan terbabit mencetuskan rantaian komplikasi yang akhirnya membawa kepada kematian arwah.
Mahkamah kemudian menganugerahkan ganti rugi berjumlah RM430,936.15 membabitkan RM250,000 untuk ganti rugi am dan RM30,936.15 bagi ganti rugi khas, selain ganti rugi teruk sebanyak RM150,000 selepas mendapati berlaku halangan pentadbiran dalam pendedahan rekod perubatan serta penyembunyian fakta material yang melambatkan penelitian bebas terhadap kes itu.
























