BH Online
Ringkasan Berita

Polis bongkar kegiatan eksploitasi manusia, 4 pusat panggilan 'scammer' di Pulau Pinang, 109 warga asing antara ditahan

BUKIT MERTAJAM: Polis membongkar kegiatan eksploitasi manusia serta empat pusat panggilan dipercayai mendalangi penipuan pelaburan tidak wujud menerusi beberapa serbuan sekitar Seberang Perai Tengah dan Timur Laut, semalam.
Polis bongkar kegiatan eksploitasi manusia, 4 pusat panggilan 'scammer' di Pulau Pinang, 109 warga asing antara ditahan

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng. - NSTP

BUKIT MERTAJAM: Polis membongkar kegiatan eksploitasi manusia serta empat pusat panggilan dipercayai mendalangi penipuan pelaburan tidak wujud menerusi beberapa serbuan sekitar Seberang Perai Tengah dan Timur Laut, semalam.

Hasil kedua-dua serbuan yang dijalankan secara berasingan itu, polis menahan 109 warga asing membabitkan pelbagai warganegara.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata lokasi pertama iaitu sebuah premis di Jalan Utara Berapit, di sini, diserbu kira-kira jam 7 malam susulan laporan polis oleh seorang wakil komuniti Cameroon di Malaysia mengenai seorang wanita warganegara itu yang dipercayai dikurung serta dieksploitasi di daerah Seberang Perai Tengah.

Selain menyelamatkan wanita berusia 25 tahun itu, katanya polis menahan 29 warga asing termasuk sembilan wanita selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri sah ketika pemeriksaan.

Turut ditahan seorang lelaki Taiwan dipercayai majikan dan pengendali kegiatan itu.

"Siasatan awal mendapati wanita warga Cameroon itu dipercayai dibawa dari Kemboja ke Malaysia melalui laluan tidak sah selepas bekerja dengan sindiket berkenaan selama hampir setahun.

"Mangsa diperdaya dengan tawaran pekerjaan, tidak dibayar gaji serta dikawal pergerakannya. Dia hanya dibenarkan menggunakan telefon bimbit sekali sehari sebelum berjaya menghubungi ahli keluarganya di Cameroon untuk mendapatkan bantuan. Pasport mangsa turut dipegang sindiket," katanya melalui kenyataan.

Dalam serbuan berasingan, Kwang Keng berkata pihaknya membongkar kegiatan empat premis dipercayai dijadikan pusat panggilan penipuan pelaburan tidak wujud.

"Hasil keseluruhan serbuan itu membawa penahanan 80 individu terdiri seorang lelaki tempatan dan 79 warga asing membabitkan kerakyatan China, Vietnam serta Kemboja.

"Semua warga asing dipercayai ditawarkan pekerjaan di Malaysia melalui platform dalam talian atau ejen sebelum dibawa ke premis berkenaan.

"Mereka ditawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan gaji antara RM3,200 hingga RM5,000 sebulan, dengan tugas menghubungi serta memujuk mangsa supaya menyertai skim pelaburan tidak wujud," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis berkenaan beroperasi lebih sebulan dan turut dijadikan tempat tinggal pekerja sindiket.

"Polis merampas sejumlah telefon bimbit dan barangan berkaitan kegiatan penipuan hasil keseluruhan empat serbuan berkenaan.

"Semua tangkapan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan