BH Online
Ringkasan Berita

11 lokasi tumpuan warga asing di Kota Bharu

KOTA BHARU: Pihak berkuasa di Kelantan mengenal pasti sekurang-kurangnya 11 lokasi yang menjadi tumpuan warga asing di ibu negeri ini, dengan kebanyakannya membabitkan kelompok kedai runcit yang sering dikunjungi mereka.
11 lokasi tumpuan warga asing di Kota Bharu

Sekurang-kurangnya 11 lokasi dipercayai menjadi tumpuan warga asing di Kota Bharu. - Foto NSTP/Wanna Abdul Rahim

KOTA BHARU: Pihak berkuasa di Kelantan mengenal pasti sekurang-kurangnya 11 lokasi yang menjadi tumpuan warga asing di ibu negeri ini, dengan kebanyakannya membabitkan kelompok kedai runcit yang sering dikunjungi mereka.

Sumber berkata, lokasi yang dikenal pasti termasuk di Jalan Padang Garong, dekat sini khususnya sekitar premis pengurup wang, kawasan komersial serta beberapa premis perniagaan yang diusahakan peniaga warga Aceh.

"Majoriti lokasi tumpuan itu membabitkan kelompok kedai runcit yang sering menjadi tempat pekerja asing dan pendatang berkumpul.

"Lokasi lain termasuk premis pengurup wang di sepanjang Jalan Padang Garong serta beberapa kedai runcit dan telefon bimbit di sekitar bandar," katanya.

Menurut sumber itu, sebahagian warga asing yang berada di lokasi berkenaan memiliki dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah, manakala ada yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Bagaimanapun, dipercayai masih terdapat sebahagian daripada mereka yang tidak mempunyai dokumen sah untuk memasuki atau berada di Malaysia.

Sumber berkata, agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Imigresen sentiasa menjalankan operasi di kawasan terbabit bagi mengesan dan menahan pendatang tanpa izin (PATI).

Sementara itu, tinjauan di sekitar bandar pagi ini mendapati kira-kira 300 warga asing daripada pelbagai negara berada di kawasan itu dengan menaiki teksi sewa dan bas.

Majoritinya lelaki warga Bangladesh, Indonesia serta etnik Rohingya.

Mereka mula tiba seawal jam 9 pagi, kebanyakannya untuk membeli barangan keperluan harian di kedai runcit atau bertemu rakan.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata jabatan itu mengenal pasti lebih 200 lokasi tumpuan warga asing di seluruh negara, dengan lebih 100 daripadanya berada di Lembah Klang.

Video Terkini

Berita Berkaitan