MELAKA: Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya yang berusia 12 tahun bulan lalu.
Tertuduh, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di ruang makan dan dalam bilik di sebuah rumah di Felcra Lebah Kesah, dekat Merlimau di Jasin pada 5 Jun lalu antara jam 12.30 tengah hari hingga 12.45 tengah hari.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Muhammad Qaiyyum memohon tarikh sebutan baharu dan menawarkan jaminan RM18,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan saksi pendakwaan, selain melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Peguam, AH Mohamad Zulkiffly Abdul Hamid merayu jaminan seminimum mungkin atas alasan tertuduh menanggung isteri tidak bekerja dan seorang anak orang kurang upaya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat seperti dipohon pihak pendakwaan, dengan 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
























