BH Online
Ringkasan Berita

Pemandu pikap didakwa memandu melulu sebabkan kematian

RAUB: Seorang pemandu pikap dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan memandu melulu hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, manakala anaknya parah di Mempaga, Bentong, pada Selasa lalu.
Pemandu pikap didakwa memandu melulu sebabkan kematian

Hairizal didakwa memandu melulu hingga menyebabkan seorang penunggang motosikal terbunuh dan anaknya parah dalam kemalangan di Mempega, Bentong, Selasa lalu. NSTP/ FAZLI AHMAD

RAUB: Seorang pemandu pikap dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan memandu melulu hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, manakala anaknya parah di Mempaga, Bentong, pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Hairizal Ahmad, 44, mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dihadapinya dibacakan di hadapan Majistret Aisyah Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, Hairizal didakwa memandu melulu hingga menyebabkan kemalangan yang menyebabkan kematian Zaiful Arimey Zainal Abidin, 33, dan bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memandu secara melulu dan membahayakan nyawa anak mangsa, Putera Nik Zarif Aqil, 6.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira jam 10.25 malam Selasa lalu, di Kilometer 15, Jalan Utama Mempaga, berhampiran Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong, di Bentong.

Hairizal didakwa memandu secara melulu dan memasuki lorong bertentangan sebelum melanggar motosikal dinaiki dua beranak terbabit yang berada di simpang jalan dan bagi pertuduhan menyebabkan kematian pula, dia didakwa mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000, manakala hukuman bagi pertuduhan kedua pula ialah penjara hingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM15,000.

Pendakwaan dilakukan Zamharir Zuhid dan tertuduh diwakili peguam, R Vikraman.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Video Terkini

Berita Berkaitan