KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia di dalam sebuah rumah yang berkunci, berhampiran stesen minyak di Batu 6, Kuala Krai di sini, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Wan Asri Wan Mohamood, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 2.46 petang yang memaklumkan terdapat seorang mangsa berada di dalam rumah berkunci.
Susulan itu, beliau berkata, tujuh anggota dari BBP Tunjong bergegas ke lokasi.
"Pasukan bomba kemudian membuka pintu rumah yang berkunci itu dan menemui seorang wanita warga emas berada dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang dikenal pasti sebagai Mariam Mat Saman, 83, disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital, dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
























