BH Online
Ringkasan Berita

Pemancing ditemukan lemas 2km dari lokasi terjatuh di Jambatan Pulau Pinang

GEORGETOWN: Lelaki yang dilaporkan terjatuh ke laut ketika memancing di Jambatan Pulau Pinang semalam, ditemukan lemas.
Pemancing ditemukan lemas 2km dari lokasi terjatuh di Jambatan Pulau Pinang

Laporan BH Online.

GEORGETOWN: Lelaki yang dilaporkan terjatuh ke laut ketika memancing di Jambatan Pulau Pinang semalam, ditemukan lemas.

Mangsa, Abdul Ghani Mohsin, 39, ditemukan nelayan jam 10.26 pagi hari ini kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis mengesahkan perkara itu dengan kes diserah kepada pihak polis.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, keluarga mangsa turut berada di lokasi ketika penemuan itu dan proses bedah siasat masih dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik HPP.

Semalam, media melaporkan operasi pencarian dan penyelamatan dilakukan selepas laporan kehilangan mangsa diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) jam 6.38 pagi.

Operasi turut membabitkan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dan PDRM.

Proses pencarian membabitkan radius keluasan sehingga lima kilometer dari lokasi kejadian.

Mangsa yang berasal dari Bukit Mertajam dikatakan memancing di tiang nombor lima jambatan itu dari arah pulau ke Perai bersama rakannya dan dipercayai terjatuh ke laut ketika mengambil wuduk.

Video Terkini

Berita Berkaitan