SANDAKAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 100 kilogram (kg) sisik tenggiling bernilai RM1.3 juta yang dipercayai cuba diseludup ke luar negara melalui Lapangan Terbang Sandakan, di sini.
Rampasan dibuat menerusi pemeriksaan berkala di pintu masuk kargo udara di lapangan terbang berkenaan, kira-kira jam 2.30 petang 6 Julai lalu.
Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman, berkata siasatan awal mendapati sisik tenggiling itu dibawa ke daerah ini dari Kota Kinabalu menggunakan bas ekspres sebelum dihantar ke kargo udara dipercayai untuk dieksport.
Katanya, modus operandi sindiket adalah dengan memasukkan sisik tenggiling ke dalam plastik hitam dan dimuatkan dalam lima kotak yang setiap satu seberat 20 kilogram (kg).
"Sindiket menggunakan taktik mengikrarkan dagangan dalam borang sebagai barangan lain untuk mengelirukan atau mengaburi pemeriksaan di pintu masuk kargo udara.
"Taktik ini bertujuan mengelakkan pengesanan serta keperluan mendapatkan permit eksport bagi spesies terjadual. Belum ada tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Ahmad Taufik berkata, sisik tenggiling adalah bahagian spesies terjadual yang perdagangan antarabangsanya dikawal dan memerlukan permit sah daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
Katanya, rampasan berkenaan akan diserahkan kepada JHL dan kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).
"Ini rampasan pertama berkaitan sisik tenggiling yang dibuat tahun ini. Kita akan terus melakukan operasi dari semasa ke semasa untuk menangani sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Taufik berkata, pihaknya merampas 95,080 rokok seludup bernilai kira-kira RM67,000, termasuk cukai dalam dua kes berasingan di Kampung Bariawa, Batu 8 dan Batu 2 1/2, di sini.
Katanya, tiada tangkapan dalam kedua-dua kes, masing-masing pada 15 dan 16 Jun lalu dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, iaitu berkaitan pemilikan atau penyimpanan barang larangan.
"Sindiket menggunakan kawasan semak dan lokasi tersorok sebagai tempat menyembunyikan sementara rokok seludup untuk mengaburi pihak berkuasa sebelum diedarkan ke pasaran tempatan," katanya.















