KUCHING: Remaja perempuan maut, manakala remaja lelaki cedera dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong 5 Permai Jaya, Tupong Ulu, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2 pagi, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Nurmanisha Khamis, 13, manakala Mohd Rayyan Mohd Faizal diselamatkan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.23 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bersama pasukan bantuan dari BBP Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi.
"Pasukan bomba tiba pada jam 2.27 pagi dan mendapati sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal terbakar kira-kira 70 peratus.
"Maklumat awal diterima memaklumkan terdapat dua mangsa berada dalam rumah ketika kebakaran berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, anggota bomba kemudian menggunakan teknik offensive dengan memasuki bangunan yang sedang terbakar bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa yang dilaporkan terperangkap.
"Sebaik berjaya membawa keluar kedua-dua mangsa, anggota bomba segera memberikan rawatan awal di lokasi sebelum mangsa diserahkan kepada petugas KKM untuk tindakan lanjut.
"Bagaimanapun, remaja perempuan itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian, manakala remaja lelaki dihantar ke hospital untuk menerima rawatan," katanya.
Operasi pemadaman dapat dikawal pada jam 3.14 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 pagi.
























