KOTA BHARU: Seorang penunggang motosikal maut apabila dihempap sebatang pokok dianggarkan berusia kira-kira 200 tahun yang tumbang ketika ribut dan hujan lebat di Kampung Sering, di sini, hari ini.
Dalam insiden kira-kira jam 4.30 petang tadi, Sauti Mohamad, 55, yang juga pekerja kedai buku, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada kepala.
Anak mangsa, Mohamad Shafiq Sauti, 23, berkata kejadian berlaku ketika arwah bapa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Senok, Bachok, dari tempat kerja di Padang Tembak, Pengkalan Chepa.
"Pada mulanya, saya dihubungi rakan memaklumkan kejadian menimpa ayah tetapi menyangkakan dia bergurau, sebelum pulang untuk melihat sama ada ayah berada di rumah atau tidak.
"Bagaimanapun, ayah tidak kelihatan. Selepas itu, saya menerima berita sama menerusi kumpulan WhatsApp yang turut menyertakan gambar ayah.
"Saya segera ke lokasi kejadian dan melihat jasad ayah tanpa kesan kecederaan teruk, hanya ada sedikit darah di tepi bibirnya.
"Mungkin batang pokok yang tumbang itu terkena belakang tengkuk ayah," katanya kepada pemberita di pekarangan Unit Forensik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini.
Menceritakan lanjut, Mohamad Shafiq memaklumkan bahawa Allahyarham tiada menunjukkan perubahan ketara, cuma kerap membeli durian dan dalam jumlah yang banyak kebelakangan ini.
"Sebelum ini, ayah tidak pernah membeli durian dengan kerap dan dalam jumlah banyak.
"Kami memang berasa agak pelik tetapi tidak menyangka kejadian tidak diingini akan menimpanya.
"Pagi tadi, saya tidak sempat berbual dengan arwah kerana saya keluar rumah sekitar jam 5 pagi untuk ke tempat kerja di kedai jualan ayam, manakala ayah belum bangun tidur.
"Cuma malam tadi, kami sempat berbual ringkas. Walaupun masih terkejut dengan kejadian ini, kami sekeluarga reda," katanya.
Jenazah bapa kepada tiga anak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Senok, pagi esok.
























