BH Online
Ringkasan Berita

Pekerja Bangladesh maut jatuh bangunan, JKKP arah kontraktor henti kerja

GEORGETOWN: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengarahkan sebuah syarikat subkontraktor menghentikan kerja mengecat dan kemasan rumah di sebuah tapak pembinaan di Bayan Mutiara di sini, susulan kes pekerja warga Bangladesh terjatuh dan maut.
Pekerja Bangladesh maut jatuh bangunan, JKKP arah kontraktor henti kerja

Foto hiasan.

GEORGETOWN: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengarahkan sebuah syarikat subkontraktor menghentikan kerja mengecat dan kemasan rumah di sebuah tapak pembinaan di Bayan Mutiara di sini, susulan kes pekerja warga Bangladesh terjatuh dan maut.

Pengarah JKKP Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata arahan dikeluarkan susulan Notis Larangan kepada subkontrantor terbabit bagi menghentikan kerja berkenaan di kawasan tepian terbuka.

Beliau berkata, Notis Larangan turut dikeluarkan kepada kontraktor utama berhubung kegagalan memastikan kawasan tepian terbuka dihadang dan dilindungi dengan selamat.

"Semua aktiviti kerja di lokasi kejadian berkaitan diarah dihentikan serta-merta sehingga semua kehendak Notis Larangan dipatuhi sepenuhnya.

"Majikan, kontraktor utama, subkontraktor dan semua pemegang kewajipan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] serta Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) 2024 [CDM 2024] hendaklah memastikan tempat kerja sentiasa selamat," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi Ahad lalu, seorang lelaki warga Bangladesh maut dipercayai terjatuh dari tempat tinggi di tapak pembinaan itu , namun laporan kejadian hanya dibuat jam 12.15 tengah hari semalam.

Hairozie Asri berkata siasatan pihaknya mendapati mangsa adalah pekerja syarikat subkontraktor yang menjalankan kerja mengecat, plaster dan kemasan rumah di tapak pembinaan berkenaan.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 34 ke tingkat sembilan.

"Mangsa dipercayai melaksana kerja di tingkat 34 sebelum ditemukan dalam keadaan parah di atas lantai bumbung kanopi di tingkat sembilan.

"Pegawai Perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Hairozie berkata, menjadi satu kesalahan sekiranya menyembunyikan atau tidak melapor sebarang kemalangan pekerjaan yang berlaku di tempat kerja.

"JKKP meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan menentukan sama ada terdapat pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan