GOMBAK: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menyerang jirannya menggunakan senjata dipercayai pemutar skru dan pisau ketika dalam keadaan mabuk di kediaman mereka di Kampung Baru Kundang, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah hari tadi, dengan beberapa barang kes turut dirampas.
Mengulas lanjut, katanya polis menerima laporan berhubung kejadian itu Ahad lalu.
"Semasa kekecohan, suspek menyerang keluarga mangsa menggunakan objek senjata tajam.
"Akibat kejadian itu, dua mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
"Bertindak atas maklumat, pihak polis menahan suspek iaitu seorang lelaki tempatan kira-kira 12 tengah hari tadi dan merampas beberapa barang kes," katanya melalui kenyataan hari ini.
Sementara itu, sumber memaklumkan kejadian terbabit dipercayai berpunca apabila suspek dikatakan tidak berpuas hati apabila ahli keluarga mangsa kononnya membuat laporan polis menuduhnya mencuri kambing.
Difahamkan, mangsa menafikan perkara itu, namun suspek yang tinggal bersebelahan rumah bertindak agresif sebelum berlaku pergelutan antara adik serta anak mangsa di rumah.
Menurut Ibrahim, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Polis turut menyiasat insiden di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kediaman mangsa yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan, denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
























