BH Online
Ringkasan Berita

MBSA musnahkan lebih 800 mesin perlombongan kripto disita sepanjang 2025

SHAH ALAM: Ratusan peralatan dikaitkan perlombongan mata wang kripto bernilai RM800,000 yang disita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sepanjang tahun lalu dilupuskan hari ini.
MBSA musnahkan lebih 800 mesin perlombongan kripto disita sepanjang 2025

Tindakan pelupusan bagi memusnahkan lebih 800 peralatan perlombongan mata wang kripto tanpa kebenaran. - Foto ihsan MBSA

SHAH ALAM: Ratusan peralatan dikaitkan perlombongan mata wang kripto bernilai RM800,000 yang disita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sepanjang tahun lalu dilupuskan hari ini.

Pengarah Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Fauzi Aziz Maamor berkata selain 893 mesin melombong kripto, turut dilupuskan di Depoh Tunda Harian MBSA di Seksyen 17 di sini adalah 70 unit kipas pengudaraan.

Sepanjang tahun lalu, MBSA menggerakkan 24 siri operasi bersepadu menyasarkan premis seluruh kawasan parlimen dan pentadbiran bandar raya ini.

"Ini hasil tindakan bersepadu dijalankan penguatkuasa MBSA bersama agensi berkaitan terhadap aktiviti perlombongan bitcoin tanpa kebenaran di sekitar kawasan pentadbiran MBSA," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fauzi Aziz menjelaskan, tindakan penguatkuasaan dan pelupusan dilaksanakan selaras peruntukan Peraturan 3 dan Peraturan 38, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MBSA 2007 serta Seksyen 116, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram, khususnya melibatkan penyalahgunaan bekalan elektrik dan pelanggaran undang-undang di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

Beliau berkata, pelaksanaan pelupusan ini bertujuan memastikan semua barang rampasan yang selesai proses perundangan dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan, di samping membanteras dan mencegah aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram yang sering dikaitkan dengan penyambungan bekalan elektrik secara tidak sah.

Video Terkini

Berita Berkaitan