GEORGETOWN: "Saya dengar suara meminta tolong sebelum menyedari seorang lelaki seperti tenggelam timbul di permukaan air, namun tidak lama kemudian terus senyap".
Demikian kata pemancing yang hanya ingin dikenali Ismail, ketika menceritakan detik seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut di Jambatan Pulau Pinang, hari ini.
Mangsa dikenali Abdul Ghani Mohsin, 39, dikatakan terjatuh ketika memancing di tiang nombor lima jambatan itu dari arah pulau menghala Perai.
Menurut Ismail, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.15 pagi dan keadaan waktu itu masih gelap dengan penglihatan terhad, manakala ombak agak bergelora.
"Sebaik terdengar jeritan, saya dan rakan menyalakan lampu kecemasan sebelum sebuah bot nelayan yang berada berhampiran datang membantu dan melakukan pencarian.
"Kami gagal menemukan mangsa sebelum menghubungi talian 999 yang kemudian disambungkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang," katanya.
Ismail berkata, berdasarkan maklumat diterima mangsa dikatakan memancing bersama rakannya di tiang nombor lima jambatan itu.
"Saya tidak dapat pasti bagaimana dia terjatuh ke laut, namun mangsa dikatakan tergelincir ketika hendak mengambil wuduk," katanya lagi.
Difahamkan, mangsa dikatakan disedari rakannya bangun untuk menunaikan solat Subuh, namun hanya disedari hilang tidak lama kemudian.
Sementara itu, Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, operasi mencari dan menyelamat diperkemas dengan pembabitan aset bot peronda agensi lain merangkumi Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Selain itu, bantuan aset dron Maritim Malaysia turut digerakkan bagi memperluas skop pencarian dan memantapkan proses pengesanan mangsa.
"Sektor pencarian difokuskan di sekitar kawasan Jambatan Pertama Pulau Pinang dengan tumpuan khusus diberikan pada kedudukan terakhir mangsa dilaporkan terjatuh," katanya menerusi kenyataan.From: Nini
























