NIBONG TEBAL: Tindakan proaktif penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membuat pembelian secara penyamaran dalam talian membongkar kegiatan penjualan jersi tiruan Piala Dunia.
Kegiatan itu terbongkar dalam serbuan di dua premis dekat Jalan Cenderawasih Indah, di sini, petang tadi.
Dalam serbuan bersama Cawangan Khas E5 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) itu, sebanyak 7,200 unit jersi pelbagai jenama terkenal dari China dianggarkan bernilai RM360,000 dirampas, selain membuat penahanan terhadap seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik premis berusia 29 tahun untuk tindakan lanjut.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan, berkata pihaknya melakukan pembelian secara penyamaran terhadap beberapa penjual di platform e-dagang selepas mengesan peningkatan permintaan jersi pasukan yang bertanding dalam Piala Dunia.
"Siasatan mendapati sindiket ini beroperasi sepenuhnya secara dalam talian dengan membuat siaran langsung untuk menjual jersi, manakala premis yang diserbu dijadikan tempat penyimpanan stok, pembungkusan dan penghantaran pesanan.
"Operasi ini dijalankan selepas kita membuat saringan penjual di internet sebelum melakukan pembelian penyamaran. Pelbagai kaedah digunakan termasuk mengesan alamat protokol internet (IP) bagi memastikan lokasi sebenar operasi sebelum serbuan dijalankan," katanya kepada pemberita selepas turut serta dalam serbuan berkenaan, di sini, hari ini.
Beliau berkata jersi tiruan itu dijual antara RM35 hingga RM50 sehelai bergantung kepada gred atau kualitinya.
Katanya, premis berkenaan sukar dikesan kerana beroperasi secara tertutup sehingga premis berhampiran juga dipercayai tidak mengetahui kegiatan yang dijalankan yang pihaknya mengambil masa selama tiga minggu melaksanakan risikan sebelum membuat serbuan.
"Semasa serbuan dibuat, banyak bungkusan sudah siap untuk dihantar kepada pelanggan. Kita jangkakan ramai pembeli tidak akan menerima tempahan mereka kali ini, namun tindakan ini perlu diambil bagi membanteras penjualan barangan tiruan," katanya.
Individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barangan atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi syarikat pula, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda sehingga RM15,000 bagi setiap barangan, manakala bagi kesalahan berikutnya didenda sehingga RM30,000 bagi setiap barangan," katanya.
























