BH Online
Ringkasan Berita

Ladang nanas terbakar: Bomba padam kebakaran di lebih separuh kawasan, terus operasi hari kedua

KUCHING: Operasi pemadaman kebakaran di ladang nanas di Kampung Pusa di Betong, diteruskan hari kedua hari ini dengan tumpuan kepada usaha memadam baki kawasan yang masih terbakar.
Ladang nanas terbakar: Bomba padam kebakaran di lebih separuh kawasan, terus operasi hari kedua

Operasi pemadaman kebakaran ladang nanas di Kampung Pusa, Betong masuk hari kedua hari ini. - Foto BOMBA

KUCHING: Operasi pemadaman kebakaran di ladang nanas di Kampung Pusa di Betong, diteruskan hari kedua hari ini dengan tumpuan kepada usaha memadam baki kawasan yang masih terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergerak ke lokasi jam 9.45 pagi bagi meneruskan operasi memadam api dan memantau kawasan terjejas.

Beliau berkata, operasi diteruskan pada jam 11.30 pagi menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki bagi membolehkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mara lebih jauh ke dalam kawasan kebakaran.

"Bekalan air diperoleh daripada sumber air terbuka menggunakan pam angkut yang dipinjam daripada BBP Saratok bagi memastikan operasi berjalan lancar.

"Penggunaan dua aliran hos membolehkan anggota meneruskan kerja pemadaman di kawasan yang sukar dicapai selain mengawal api daripada terus merebak," katanya.

Beliau berkata, setakat ini kebakaran membabitkan kawasan seluas 1.01 hektar dengan 0.61 hektar berjaya dipadamkan.

"Kira-kira 0.40 hektar kawasan masih terbakar dan usaha pemadaman sedang giat dijalankan sehingga api dipadamkan sepenuhnya," katanya.

Operasi itu turut mendapat kerjasama tiga pengusaha ladang, manakala bomba akan terus melakukan kerja pemadaman dan pemantauan bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya serta tidak merebak ke kawasan berhampiran.

Video Terkini

Berita Berkaitan