BH Online
Ringkasan Berita

'Datuk' ditahan disyaki keluar surat palsu Istana Pahang

KUANTAN: Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ dan pembantunya direman empat hari bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan pengeluaran surat palsu menggunakan Jata Diraja Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah untuk pengurusan tanah di sebuah daerah, di negeri ini.
'Datuk' ditahan disyaki keluar surat palsu Istana Pahang

Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ dan pembantunya direman empat hari bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan pengeluaran surat palsu menggunakan Jata Diraja Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. - Foto NSTP/MUHAMMAD DELIMA ATAN

KUANTAN: Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' dan pembantunya direman empat hari bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan pengeluaran surat palsu menggunakan Jata Diraja Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah untuk pengurusan tanah di sebuah daerah, di negeri ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ellyna Othamn selepas polis mengemukakan permohonan di kamarnya di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata 'Datuk' dan pembantunya masing-masing berusia 45 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Cyberjaya, Putrajaya, kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Beliau berkata mereka ditahan selepas Istana Pahang mengesan beberapa dokumen palsu mengguna Jata Diraja dan kepala surat Unit Tengku Mahkota Pahang, 8 Julai lalu.

"Surat palsu itu turut tertera nama dan tandatangan seorang pegawai kanan Majlis Kesultanan Pahang (MKP) tanpa kebenaran.

"Dokumen itu dikesan selepas seorang ahli perniagaan menemui pegawai terbabit dan mengemukakan surat berkenaan untuk pengesahan.

"Ahli perniagaan terbabit mendakwa memperolehi dokumen berkenaan daripada seorang lelaki bergelar Datuk dan surat itu tawaran serta sokongan pelantikan kononnya dikeluarkan atas perkenan Tengku Mahkota Pahang," katanya ketika dihubungi.

Susulan itu Azri berkata, pegawai kanan MKP terbabit merujuk Tengku Hassanal dan diarahkan membuat laporan polis kerana penipuan itu membabitkan penyalahgunaan identiti rasmi Istana Pahang.

Beliau berkata polis sedang menyiasat motif pengeluaran surat palsu itu dan nilai kerugian membabitkan kes itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun berserta sebatan dan denda.

Video Terkini

Berita Berkaitan