BENTONG: Tindakan dipercayai memotong beberapa kenderaan di garisan berkembar mengundang tragedi apabila pikap bertembung dengan motosikal, mengorbankan seorang bapa, manakala anak lelakinya parah di Kilometer 15 Jalan Utama Mempaga, berhampiran Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong (SUPERB), malam tadi.
Mangsa, Zaiful Arimey Zainal Abidin, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala, tangan dan kaki dalam kejadian jam 10.48 malam.
Anak lelakinya yang berusia enam tahun dan membonceng motosikal itu pula parah pada kaki kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata, siasatan awal mendapati pikap dipandu lelaki berusia 43 tahun bersama seorang penumpang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Raub.
"Setibanya di lokasi kejadian, pemandu dipercayai memotong beberapa kenderaan di kawasan garisan berkembar sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu serta penumpang pikap tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, pemandu kenderaan itu ditahan bagi membantu siasatan, manakala permohonan reman akan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ujian saringan air kencing mendapati pemandu negatif dadah, manakala sampel darah diambil untuk analisis lanjut.
"Siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan keterangan dan mengenal pasti punca sebenar kemalangan," katanya.
























