IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membenarkan aktiviti pendakian ke puncak Bukit Bangkong di Tanah Hitam, Chemor di sini biarpun ia dipercayai menjadi kawasan rayau harimau belang.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim, berkata keputusan jabatan itu menyusuli perbincangan yang diadakan di pada 10 Jun lalu yang turut dihadiri Pengarah PERHILITAN negeri bersama pihak Balai Polis Tanah Hitam dan Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tanah Hitam.
bagaimanapun, kata beliau, PERHILITAN mengesyorkan sebarang aktiviti pendakian hanya dibuka semula bagi laluan utama ke puncak manakala laluan alternatif kekal ditutup sepenuhnya, selain penetapan mengenai waktu pedakian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Selain itu, katanya keputusan mesyuarat juga bersetuju satu papan tanda amaran kawasan hidupan liar diletakkan di pintu masuk Bukit Bangkong.
"Pihak jabatan tiada halangan Bukit Bangkong dibuka semula bagi sebarang aktiviti pendakian sekiranya hanya laluan utama ke puncak Bukit Bangkong sahaja dibuka dan laluan alternatif ke Bukit Bangkong ditutup sepenuhnya.
"Selain itu, pihak jabatan menasihati aktiviti pendakian dijalankan seawal jam 9 pagi dan pulang sebelum jam 5 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, terdapat bantahan dari pihak JPKK Kg. Tanah Hitam untuk pembukaan semula aktiviti pendakian Bukit Bangkong kepada orang awam.
Tambah Kok Lim, susulan harimau belang dikesan sekitar kawasan Bukit Bangkong sebelum ini, kawasan rekreasi itu masih belum dapat dibuka semula kerana memerlukan penilaian dan maklumat lanjut.
























