SHAH ALAM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) membuat laporan polis berhubung tindakan individu yang dipercayai sebagai ejen kerana membuat ugutan mahu menembak pegawai penguatkuasa agensi terbabit.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, ugutan untuk menembak dilakukan ketika pegawai terbabit sedang melaksanakan tugas rasmi.
"AKPS memandang serius tindakan seorang orang awam yang dipercayai bertindak sebagai ejen kerana mengugut untuk menembak seorang pegawai penguatkuasa AKPS ketika pegawai tersebut sedang melaksanakan tugas rasmi.
"Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan kes berkenaan sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang jenayah yang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.
Tegasnya, sebarang bentuk ugutan, gertakan, gangguan atau cubaan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas adalah perbuatan yang serius dan tidak akan ditolak ansur.
"AKPS akan sentiasa mempertahankan keselamatan serta kebajikan pegawainya dalam melaksanakan amanah menguatkuasakan undang-undang dan melindungi keselamatan sempadan negara.
"AKPS memberi kerjasama penuh kepada PDRM dalam siasatan yang sedang dijalankan dan menyeru orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan," katanya.
























