KANGAR: Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar cecair dadah sintetik jenis Fentanyl seberat 39.9 liter awal bulan lalu
Tertuduh Him Mat, 65, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang lagi individu yang masih bebas, mengedar dadah berbahaya jenis Fentanyl seberat 39.9 liter pada 1 Julai lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah beralamat di Jalan Panggas, Kampung Guar Musang, Bukit Keteri, Padang Besar, kira-kira jam 5.50 petang.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan minimum 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Check Pi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan kes terbabit akan dipindahkan ke mahkamah berlainan untuk proses perbicaraan.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Oktober depan depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia kes terbabit.
























