TUMPAT: Mekanik yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung kes rogol dan samun remaja perempuan di Palekbang pada 17 Jun lalu disambung reman tujuh hari hingga 21 Julai ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 24 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi di Mahkamah Majistret Tumpat.
Keputusan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) kerana merogol dan Seksyen 394KK atas kesalahan samun sehingga menyebabkan kecederaan.
Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian pagi 17 Jun lalu, mangsa yang sedang beriadah diserang seorang lelaki tidak dikenali dengan memukulnya dengan sebatang kayu sebelum dirogol dan disamun.
Mangsa dijumpai dalam keadaan separuh sedar dengan mengalami kecederaan di bahagian muka, kepala dan badan di kawasan semak berhampiran tali air di Kampung Mesira, Palekbang.
Remaja perempuan itu dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dan turut menerima rawatan psikologi.
























