BUTTERWORTH: Seorang wanita warga tempatan tampil ke Balai Polis Butterworth, di sini semalam bersama dua unit objek menyerupai bom untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, berkata bom itu ditemui dalam bilik stor rumah mendiang bapa wanita berkenaan yang telah meninggal dunia pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, wanita berkenaan ketika itu sedang mengemas bilik stor terbabit sebelum menemukan bom berkenaan.
"Rumah itu sebelum ini didiami oleh mendiang bapa dan ibu wanita terbabit yang berusia lingkungan 60-an.
"Saksi bebas juga tidak mengetahui berkenaan kewujudan objek menyerupai bom itu.
"Siasatan tempat kejadian juga mendapati stor berkenaan digunakan untuk menyimpan barang-barang lama milik mendiang bapanya sejak 20 tahun lalu dan rumah itu juga sudah tidak didiami oleh sesiapa sejak mendiang meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelas Anuar, Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kemudian hadir ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.
"UPB mengesahkan dua objek itu ialah bom mortar latihan milik tentera yang tidak mengandungi bahan letupan serta tidak mendatangkan sebarang bahaya.
"Objek itu kemudian diserahkan kepada UPB untuk siasatan seterusnya, sebelum kes ini diklasifikasikan NFA (tiada tindakan lanjut).
"Pihak polis menyeru kepada orang ramai supaya tidak mensensasikan kes berkaitan sehingga mengganggu ketenteraman awam pihak yang sedang menjalankan siasatan." katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes Asisten Superintendan (ASP) Harysman Osman di talian 04-5762222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.
























