MELAKA: Seorang peniaga ditahan kerana disyaki mencabul 10 kanak-kanak lelaki termasuk berusia semuda lapan tahun di sekitar Duyong dan Telok Mas di sini, selain meliwat seorang daripada mangsa berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditangkap oleh orang awam di Balai Raya Taman Desa Duyong kira-kira jam 6 petang semalam sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan amang seksual fizikal ke atas 10 kanak-kanak lelaki berusia lapan hingga 13 tahun sepanjang tempoh Mac lalu hingga bulan ini.
Daripada jumlah itu, katanya, kes membabitkan lapan mangsa berusia lapan hingga 12 tahun dipercayai berlaku antara Mei lalu hingga awal bulan ini di kawasan taman permainan berhampiran Duyong.
"Modus operandi terbabit ialah suspek dipercayai mendekati mangsa ketika mereka berada di taman permainan atau selepas menunaikan solat di surau, sebelum melakukan amang seksual fizikal termasuk memeluk, mencium pipi atau dahi serta memegang bahagian sulit mangsa tanpa kerelaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Dzulkhairi berkata, satu kes berlaku pada Mac lalu membabitkan seorang mangsa berusia 13 tahun yang mengenali suspek sejak tahun lalu berikutan sering bertemu di taman permainan serta surau.
"Suspek dipercayai mengambil kesempatan atas hubungan itu dengan melakukan amang seksual fizikal dan satu kejadian persetubuhan luar tabii di rumah suspek pada Mac lalu.
"Hasil siasatan juga mendapati suspek didakwa sekali lagi bertemu mangsa pada 12 Julai lalu sebelum mencium pipi kanak-kanak itu," katanya.
Dzulkhairi berkata, satu lagi kes pula membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dipercayai dicabul beberapa kali oleh suspek pada 8 dan 9 Julai lalu di Taman Desa Duyong, sebuah pasar raya serta kedai makan di Semabok.
Susulan itu, beliau berkata, suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 19 Julai bagi membantu siasatan.
Katanya, polis membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
























