KUALA LUMPUR: Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) pada 2012 lalu diakui mengubah landskap keselamatan negara, namun ia kini menimbulkan persoalan besar sama ada kerangka perundangan sedia ada mempunyai kekuatan yang cukup untuk mengekang ancaman ajaran sesat pada peringkat awal.
Isu utama yang dihadapi ketika ini bukan hanya kewujudan jurang undang-undang tetapi keupayaan penguatkuasaan untuk bertindak secara proaktif sebelum sesuatu ancaman menjadi lebih serius dan merebak ke dalam masyarakat.
Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata sekiranya sesuatu ajaran sesat hanya membabitkan penyimpangan akidah, ia lazimnya ditangani melalui enakmen jenayah syariah negeri.
"Namun, apabila ajaran terbabit berkembang menjadi sebuah organisasi yang menghasut keganasan, menolak institusi negara, mengumpulkan senjata, mengeksploitasi pengikut atau mengancam ketenteraman awam, ia telah memasuki dimensi keselamatan negara yang memerlukan campur tangan undang-undang Persekutuan.
"Dalam keadaan tertentu, memang terdapat ruang yang menyukarkan pihak berkuasa bertindak lebih awal kerana kebanyakan undang-undang jenayah memerlukan bukti bahawa suatu kesalahan telah atau sedang dilakukan. Sedangkan ancaman keselamatan sering memerlukan tindakan sebelum kemudaratan berlaku," katanya kepada BH ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kebimbangan disuarakan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai kekangan yang dihadapi oleh pasukan keselamatan dalam membanteras doktrin berbahaya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, menyifatkan ISA sebagai pendekatan paling berkesan dalam menangani ancaman ajaran sesat, keselamatan, perkauman serta isu berkaitan agama di negara ini.
Beliau mendedahkan bahawa ketiadaan akta berkenaan menyebabkan usaha membanteras ajaran sesat menjadi lebih sukar kerana pihak polis kini perlu melalui proses birokrasi dan bidang kuasa agensi berkaitan, termasuk Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Ayob Khan menjelaskan, ketika ISA masih berkuat kuasa, pihak berkuasa tidak perlu menunggu tindakan daripada JAIN sekiranya sesuatu fahaman atau ajaran dikenal pasti mengancam keselamatan negara, perpaduan kaum atau bercanggah dengan keputusan Majlis Fatwa.
Menyentuh mengenai keberkesanan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Kanun Keseksaan dan enakmen jenayah syariah negeri, Zainul Rijal menjelaskan instrumen berkenaan mempunyai fungsi tersendiri, namun tetap mempunyai limitasi tertentu.
Beliau memperincikan beberapa kelemahan utama dalam kerangka perundangan semasa termasuklah sifat undang-undang sedia ada yang lebih reaktif berbanding pencegahan.
Selain itu, pemisahan bidang kuasa antara negeri bagi isu akidah dan Persekutuan bagi isu keselamatan menyulitkan proses penyelarasan apabila kedua-dua elemen ini bertindih, di samping keterbatasan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang peruntukan hukumannya adalah terhad.
"Kelemahan itu ditambah lagi dengan kesukaran mengumpul bukti awal memandangkan kumpulan penyeleweng kini bergerak secara tertutup menggunakan media sosial dan komunikasi sulit serta ketiadaan mekanisme pencegahan menyeluruh yang membolehkan tindakan diambil sebelum bukti mencukupi diperoleh," katanya.
Bagaimanapun, Zainul Rijal menegaskan perbahasan tidak seharusnya tertumpu kepada usaha mengembalikan semula ISA dalam bentuk asalnya yang sering dikritik kerana isu penahanan tanpa bicara.
"Mengembalikan ISA dalam bentuk asal mungkin sukar diterima kerana kritikan terdahulu berkaitan penahanan tanpa bicara dan potensi penyalahgunaan kuasa. Namun, kerajaan boleh mempertimbangkan suatu undang-undang baharu yang lebih seimbang, dengan ciri-ciri seperti otoriti pencegahan yang terhad kepada ancaman keselamatan yang jelas, permohonan semakan kehakiman, tempoh penahanan munasabah serta takrifan ancaman yang jelas bagi mengelakkan penyalahgunaan," katanya.
























