PASIR MAS: Sembilan belas pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk dua wanita didenda antara RM1,000 hingga RM10,000 selepas mengaku bersalah memasuki Malaysia secara haram, tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Mereka juga diperintahkan dipenjara antara satu hingga tiga bulan jika gagal membayar denda ditetapkan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Zulkifli Abdullah menjatuhkan hukuman berkenaan selepas mereka membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
PATI berkenaan terdiri 10 lelaki warga Bangladesh, tujuh lelaki warga Indonesia, seorang wanita warga Myanmar dan seorang wanita warga Indonesia.
Lapan belas daripada mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah atau tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Seorang lagi didakwa mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Kesemua PATI berkenaan ditahan dalam operasi berasingan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Kelantan di Kota Bharu pada 1 dan 2 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Siti Khaidijah Khairuddin, manakala kesemua 19 tertuduh tidak diwakili peguam.
















