BH Online
Ringkasan Berita

Pelajar sekolah agama dakwa terlelap sehingga kereta dipandu terjunam ke dalam sungai

BACHOK: Seorang pelajar Tingkatan Empat berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandu terjunam ke dalam sungai berkedalaman 15 meter dalam kejadian di pintu air Pengkalan Petah, di sini, petang semalam.
Pelajar sekolah agama dakwa terlelap sehingga kereta dipandu terjunam ke dalam sungai

Lokasi kejadian kereta dipandu pelajar Tingkatan Empat terjunam ke dalam sungai di pintu air Pengkalan Petah, Bachok, petang semalam. - Foto Bomba

bhnews@bh.com.my

BACHOK: Seorang pelajar Tingkatan Empat berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandu terjunam ke dalam sungai berkedalaman 15 meter dalam kejadian di pintu air Pengkalan Petah, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.10 petang itu, mangsa yang berusia 14 tahun memandu sendirian Perodua Myvi dipercayai terlelap sebelum kejadian berlaku.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Nor Azini Che Wil berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai, Bachok selepas menghadiri kelas tambahan.

Katanya, remaja itu memaklumkan dia terlelap dan apabila tersedar keretanya sudah tenggelam dalam sungai.

"Mangsa menggunakan lengan kirinya untuk memecahkan cermin di bahagian penumpang hadapan untuk keluar daripada kenderaan.

"Akibat tindakan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian berkenaan," katanya.

Pelajar di sebuah sekolah agama di Kota Bharu itu kemudian dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Nor Azini berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 3.20 petang dan operasi tamat sepenuhnya jam 5.00 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut susulan pelajar bawah umur dibenarkan memandu kereta.

Video Terkini

Berita Berkaitan