KUALA TERENGGANU: Seorang wanita maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya merempuh pembahagi jalan di Jalan Jambatan Kuala Ibai, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa berusia 40 tahun yang bekerja dalam sektor sumber manusia disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Aprilia dari arah Gong Badak menghala ke sebuah homestay di Dungun.
"Setiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum melanggar pembahagi tengah jalan.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Difahamkan mangsa dari Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, ke negeri ini bersama suami dengan menunggang secara berasingan bagi menyertai acara Super Bike Fighter yang diadakan selama dua hari bermula semalam.
Azli berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
Katanya, motosikal terbabit dihantar ke PUSPAKOM bagi tujuan pemeriksaan lanjut manakala kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
























