BH Online
Ringkasan Berita

Wanita maut, dua termasuk kanak-kanak cedera kemalangan

SHAH ALAM: Seorang wanita maut, dua lagi cedera selepas kereta yang dipandunya dirempuh kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 30.7 Lebuhraya Shah Alam (KESAS), di sini, malam tadi.
Wanita maut, dua termasuk kanak-kanak cedera kemalangan

- Foto hiasan

SHAH ALAM: Seorang wanita maut, dua lagi cedera selepas kereta yang dipandunya dirempuh kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 30.7 Lebuhraya Shah Alam (KESAS), di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa yang berusia lewat 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Nissan Almera yang dipandu lelaki berusia lewat 50-an hilang kawalan sebelum merempuh Perodua Axia yang dipandu mangsa.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa turut membawa seorang wanita berusia awal 30-an serta seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(1), Shah Alam.

"Penumpang wanita dan kanak-kanak itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk menerima rawatan.

"Ketika ini, polis masih mengesan pemandu Nissan Almera untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mana-mana individu atau orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan berkenaan untuk tampil ke ke hadapan memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354.

Video Terkini

Berita Berkaitan