SHAH ALAM: Selepas sembilan hari bertarung nyawa, lelaki warga emas terjatuh dari bumbung sebuah kilang di Bukit Rahman Putra Industrial Park di Sungai Buloh, dekat sini, akhirnya menghembuskan nafas terakhir.
Mengikut kenyataan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, insiden berlaku kira-kira jam 10.50 pagi 23 Jun dan mangsa disahkan meninggal dunia pada Sabtu minggu lalu.
"Sebelum kejadian, mangsa berusia 67 tahun sedang memeriksa kerja-kerja pembaikan yang dilakukan pihak kontraktor. Siasatan awal mendapati lelaki itu bersama pengarah syarikat naik ke atas bumbung menggunakan tangga.
"Dia bagaimanapun terpijak kepingan bumbung plastik yang rapuh dan terjatuh dari ketinggian anggaran tujuh hingga lapan meter. Mangsa menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, namun disahkan meninggal dunia 4 Julai lalu," menurut kenyataan itu.
JKKP Selangor memaklumkan, susulan insiden itu, agensi berkenaan mengeluarkan notis larangan kacau ganggu di lokasi kejadian dan notis akibat kegagalan menyediakan sistem kerja selamat.
Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 15 (2)(a) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, termasuk memanggil majikan dan saksi untuk memberi keterangan.
























