BH Online
Ringkasan Berita

Pemandu maut, 3 cedera kereta rempuh motosikal, tunggul kayu

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh sebuah motosikal sedang parkir di bahu jalan sebelum melanggar tunggul kayu di Jalan Mengabang Lekar, Kuala Nerus dekat sini, awal pagi tadi.
Pemandu maut, 3 cedera kereta rempuh motosikal, tunggul kayu

Keadaan kereta yang terbalik selepas merempuh sebuah motosikal dan tunggul kayu dalam kemalangan maut di Jalan Mengabang Lekar, awal pagi tadi. - Foto ihsan polis

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh sebuah motosikal sedang parkir di bahu jalan sebelum melanggar tunggul kayu di Jalan Mengabang Lekar, Kuala Nerus dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima maklumat pada jam 3.55 pagi mengenai kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dan motosikal jenis Honda EX5 itu.

Beliau berkata, difahamkan insiden berlaku ketika pemandu Proton Saga itu sedang dalam perjalanan dari arah Merang, Setiu, menuju ke rumahnya di Kampung Maras, manakala motosikal terbabit pula dari arah bandar Kuala Terengganu menghala ke Mengabang Lekar.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati Proton Saga berkenaan dipercayai hilang kawalan setiba di lokasi kejadian lalu merempuh motosikal sedang parkir di bahu jalan sebelah kiri sebelum terbabas melanggar tunggul kayu dan terbalik.

"Pemandu Proton Saga itu, Che Mohd Hquzai Ali, 39, dari Kampung Maras, Batu Rakit, yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kemalangan itu turut menyebabkan penumpang hadapan berusia 45 tahun cedera ringan pada muka, manakala seorang lagi penumpang berumur 28 tahun di tempat duduk belakang kereta itu dilaporkan tiada mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, penunggang motosikal berusia 18 tahun juga mengalami kecederaan ringan.

Katanya, mangsa cedera kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Video Terkini

Berita Berkaitan