BH Online
Ringkasan Berita

Aktivis politik didenda RM11,000 hantar komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri, UMNO

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan aktivis politik, Jufazli Shi Ahmad, didenda RM11,000 selepas didapati bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO, empat tahun lalu.
Aktivis politik didenda RM11,000 hantar komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri, UMNO

Bangunan Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan aktivis politik, Jufazli Shi Ahmad, didenda RM11,000 selepas didapati bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO, empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, mengenakan hukuman denda itu ke atas Jufazli, 37, selaku orang kena saman (OKS) selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, di akhir kes pembelaan.

Hakim itu berkata, Jufazli didapati bersalah dan disabitkan sebagaimana dalam pertuduhan selepas mahkamah menilai dan menimbang keseluruhan pembelaan tertuduh serta keterangan saksi.

Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara 11 bulan jika gagal membayar denda itu.

"Mahkamah mengingatkan kepada OKS supaya tidak mengulangi kesalahan seperti ini.

"Jika berlaku lagi kesalahan yang sama, hukuman yang dikenakan pasti akan lebih berat dan boleh termasuk hukuman pemenjaraan," katanya.

Jufazli didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan memuat naik video ke akaun TikTok@King Maker pada jam 3 petang 23 Jun 2022.

Pautan video jelik itu dibaca dan dilihat pada jam 3 petang di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 24 Jun tahun sama.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Ia memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Izralizam berkata, mahkamah memberikan pertimbangan bahawa OKS yang menyatakan lelaki di dalam video TikTok@King Maker tiada kaitan dengan dirinya kerana lelaki itu tidak memperkenalkan diri sebagai Jufazli Shi Ahmad.

Beliau berkata, OKS selanjutnya menerangkan bahawa dari segi analisis persamaan wajah, lelaki di dalam video itu tidak mempunyai persamaan wajah dengannya kerana beliau mempunyai tahi lalat di atas hidung sebelah kanan.

"Adalah menjadi pembelaan OKS bahawa beliau tidak pernah memuat naik video terbabit dalam platform akaun TikTok@King Maker.

"Dakwaan ini bertentangan dengan laporan MCMC yang mengesahkan bahawa orang yang mengendalikan akaun TikTok@King Maker adalah OKS," katanya.

Hakim itu berkata Jufazli juga tidak pernah membuat laporan polis bagi menafikan pembabitannya dalam video berkenaan.

Video Terkini

Berita Berkaitan