KUALA LUMPUR: Pelakon wanita drama kepolisan terkenal yang ditahan selepas didapati positif dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan tidak berlesen tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, pagi ini.
Wanita berkenaan yang memakai pakaian serba hitam dan memakai pelitup muka dilihat tiba di perkarangan kompleks mahkamah pada jam 8.49 pagi dengan diiringi tiga pengawal peribadi.
Difahamkan, pelakon berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sebelum ini media melaporkan, pelakon wanita berkenaan didapati positif tiga jenis dadah dibebaskan dengan jaminan polis.
Pelakon wanita itu yang juga pernah menyertai rancangan realiti nyanyian ditahan dalam salah satu bilik VIP bersama beberapa individu lain.
Saringan awal pelakon berusia 40 tahun terbabit mendapati dia positif amphetamine, methamphetamine dan ketamin.
Pemeriksaan terhadap premis berkenaan mendapati pengusahanya gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah.
Seramai 14 individu ditahan dalam serbuan itu terdiri daripada penjaga premis, tujuh lelaki dan enam wanita.
























