BINTULU: Lelaki yang mengamuk sambil mengacukan parang terhadap seorang individu di stesen minyak di sini bulan lalu, dihukum penjara enam tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Bintulu, semalam.
Kejadian 29 Jun lalu menggemparkan orang ramai apabila rakaman video memaparkan suspek yang berusia 24 tahun itu cuba menyerang mangsa menggunakan sebilah parang tular di media sosial pada 3 Julai.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali dalam kenyataan hari ini berkata, suspek ditahan polis sebelum didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Menurutnya, bagi pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun jika sabit kesalahan.
"Bbagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 pula, hukuman diperuntukkan ialah penjara tidak kurang lima tahun serta sebatan.
"Tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta dua sebatan," katanya.















