BH Online
Ringkasan Berita

Polis siasat dakwaan buli dua beradik

KOTA KINABALU: Polis sedang menyiasat dakwaan kes buli dan serangan fizikal terhadap dua beradik yang bersekolah rendah di daerah ini selepas menerima laporan daripada bapa mangsa, semalam.
Polis siasat dakwaan buli dua beradik

- Foto hiasan

KOTA KINABALU: Polis sedang menyiasat dakwaan kes buli dan serangan fizikal terhadap dua beradik yang bersekolah rendah di daerah ini selepas menerima laporan daripada bapa mangsa, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata pengadu mendakwa dua anaknya menjadi mangsa gangguan dan serangan fizikal oleh seorang murid lelaki berusia 12 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian pertama dipercayai berlaku kelmarin apabila mangsa perempuan berusia 12 tahun didakwa ditendang pada bahagian belakang kepala oleh rakan sekelasnya.

"Keesokan harinya, adik mangsa yang turut bersekolah di sekolah sama berusia 11 tahun didakwa ditendang pada bahagian perut oleh murid lelaki yang sama.

"Akibat kejadian itu, mangsa perempuan mengalami sakit kepala, manakala mangsa lelaki berada dalam keadaan trauma dan ketakutan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pengadu turut mendakwa suspek sering mengganggu kedua-dua mangsa melalui panggilan berunsur hinaan selain melakukan gangguan fizikal di dalam kelas.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku secara berterusan sejak awal sesi persekolahan.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti identiti suspek selain merakam percakapan mangsa, saksi, guru dan pihak pentadbiran sekolah.

"Pemeriksaan perubatan ke atas kedua-dua mangsa juga dijalankan bagi menentukan tahap kecederaan yang dialami.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 507(b) Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan siasatan serta identiti kanak-kanak yang terbabit.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Movendran A/L Apoorvasamy di talian 018-5746310 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Video Terkini

Berita Berkaitan