KUANTAN: Warga emas orang kurang upaya (OKU) maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Mahkota Jaya, di sini, hari ini.
Mayat G Vilthaliggam yang kudung kedua-dua kaki ditemukan di ruang tamu dan mangsa dipercayai mati akibat terhidu asap tebal kebakaran.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, berkata pihaknya menerima laporan jam 9.30 pagi.
Sejurus menerima laporan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba di lokasi didapati kebakaran berlaku di tingkat bawah rumah terbabit.
"Anggota bomba pada mulanya dimaklumkan tiada penghuni dan mereka terpaksa memecahkan pintu hadapan untuk mengawal kebakaran.
"Selepas api dipadamkan kira-kira jam 9.50 pagi, bomba menemukan mayat lelaki terbabit atas katil di ruang tamu rumah itu," katanya ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Razam berkata, tiada kecederaan seperti melecur atau terbakar pada mayat mangsa. Dia dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap.
Berdasarkan keterangan keluarga, kaki Vilthaliggam dipotong dua tahun lalu kerana kencing manis dan tinggal bersama adik dan iparnya di rumah.
"Bagaimanapun ketika kebakaran adik dan ipar mangsa tiada di rumah," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk bedah siasat.
























