KAJANG: Polis meminta bantuan orang ramai mengesan remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Chua, di sini, sejak Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu pada jam 6.34 petang semalam.
Menurutnya, Areen Melisha Abdullah dipercayai kali terakhir dilihat pada jam 6 petang berhampiran Apartment City Height, Sungai Chua.
"Orang hilang (OH) mempunyai ketinggian 138 sentimeter dan berat sekitar 42 kilogram. Ketika kali terakhir dilihat, dia memakai baju T lengan panjang berwarna kelabu, seluar 'slack' hitam dan bertudung merah jambu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan supaya tampil ke balai polis berhampiran.
Sebarang maklumat boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Ahmad Faizal Hasan 019-7691924.






















