BH Online
Ringkasan Berita

Dua lelaki didenda miliki MyKad orang lain

KUANTAN: Dua lelaki masing-masing didenda RM5,000 dan RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan memiliki kad pengenalan atau MyKad individu lain 3 Julai lalu.
Dua lelaki didenda miliki MyKad orang lain

Tertuduh, Muhammad Al-Mujib Arman, 23, (kanan) dan Shaleh Sintam, 45 (dua dari kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di Kuantan hari ini, atas pertuduhan memiliki kad pengenalan atau MyKad individu lain 3 Julai lalu. - Foto NSTP/Muhammad Delima Atan

KUANTAN: Dua lelaki masing-masing didenda RM5,000 dan RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan memiliki kad pengenalan atau MyKad individu lain 3 Julai lalu.

Majistret Tengku Aliana Tuan Kamaruzaman turut memerintahkan Muhammad Al-Mujib Arman, 23, dan Shaleh Sintam, 45, menjalani hukuman penjara, masing-masing tujuh bulan dan lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Muhammad Al-Mujib dan Shaleh didakwa memiliki kad pengenalan bukan miliknya sebagai dokumen pengenalan diri ketika operasi yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kampung Pantai Balok, di sini antara jam 12.30 pagi dan 3.30 pagi, 3 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Fakrol Anuar Sani manakala Muhammad Al-Mujib dan Shaleh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pada prosiding itu, Fahkrol Anuar memohon hukuman yang berat dan setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran supaya tidak sewenang-wenangnya memiliki kad pengenalan milik individu lain.

Terdahulu, peguam memohon hukuman denda kerana Muhammad Al-Mujib yang tidak bekerja dan kini menanggung ibu yang bekerja kilang dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Shaleh yang juga bapa tunggal pula bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Video Terkini

Berita Berkaitan