TUMPAT: Seorang mekanik direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol dan samun remaja perempuan di Palekbang, 17 Jun lalu.
Perintah reman bermula hari ini terhadap lelaki berusia 24 tahun itu dikeluarkan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi di Mahkamah Majistret Tumpat.
Ia bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) kerana merogol dan Seksyen 394 kanun sama atas kesalahan samun sehingga menyebabkan kecederaan.
Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian pagi 17 Jun itu, mangsa yang sedang beriadah diserang lelaki tidak dikenali yang memukulnya dengan sebatang kayu sebelum dirogol dan disamun.
Remaja itu dijumpai dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan di bahagian muka, kepala dan badan di kawasan semak berhampiran tali air di Kampung Mesira, Palekbang.
Mangsa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dan turut menerima rawatan psikologi.
























