BH Online
Ringkasan Berita

PRN Johor: Semangat kental kanak-kanak 7 tahun selamatkan ahli keluarga dalam kebakaran tarik perhatian calon

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak berusia tujuh tahun menyelamatkan nyawa keluarganya daripada kebakaran bukan perkara biasa, patut jadi inspirasi.
PRN Johor: Semangat kental kanak-kanak 7 tahun selamatkan ahli keluarga dalam kebakaran tarik perhatian calon

Kebakaran di Flat Blok LM, Jalan Enau 16, Taman Daya. - Foto FB Teow Chia Ling

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak berusia tujuh tahun menyelamatkan nyawa keluarganya daripada kebakaran bukan perkara biasa, patut jadi inspirasi.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi DUN Puteri Wangsa, Teow Chia Ling, berkata, beliau bergegas ke lokasi selepas mendapat maklumat berkaitan kebakaran di Flat Blok LM, Jalan Enau 16, Taman Daya di sini.

Menurutnya, dia difahamkan kejadian berlaku ketika ibu meninggalkan tiga anak lelakinya yang sedang tidur keluar membeli barangan.

"Mujur adik bongsu yang berusia tujuh tahun bertindak pantas mengejutkan dua orang abangnya dan mereka berjaya menyelamatkan diri.

"Keberaniannya itu sepatutnya dijadikan sebagai inspirasi, jika dia lambat bertindak, mungkin membahayakan nyawanya mahupun ahli keluarga berkenaan.

"Kebakaran berjaya dipadamkan dan dia difahamkan Pasukan Forensik Bomba akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

"Melihat adik kecil itu hanya memakai jaket nipis, saya memberikan baju T kempen yang ada di dalam kereta supaya dia tidak kesejukan serta saya juga menghubungi Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk membantu keluarga ini," katanya.

Beliau berkata, dia bersyukur kerana kesemua ahli keluarga mereka selamat.

"Semoga mereka diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan ini dan dapat kembali membina kehidupan seperti sedia kala," katanya menerusi perkongsian di laman sosial Facebook (FB).

Beliau berdepan persaingan lima penjuru bagi merebut kerusi Puteri Wangsa, dicabar wakil Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik; Rashifa Aljunied dari MUDA; calon Parti Bersama, Nicholas Paul Vincent serta calon Bebas, Wang Wee Siong.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.53 pagi.

Menurutnya, seramai 19 anggota dan dua unit fire rescue tender (frt) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan

Penyelamat (BBP) Tebrau dan Johor Jaya tiba ke lokasi pada jam 7.03 pagi.

"Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 1, Khairul Azhar Abdul Aziz. Kebakaran berlaku di kediaman terletak di tingkat 2 dapat dikawal pada jam 8.11 pagi.

"Kebakaran bermula dari sebuah bilik di kediaman itu dan ketika kejadian terdapat tiga penghuni iaitu tiga beradik lelaki berusia antara 7 hingga 18 tahun.

"Kebakaran disedari oleh adik bongsu yang tidur di bilik yang terbakar sebelum mengejutkan abang yang tidur di bilik dan ruang tamu. Kebakaran memusnahkan 60 peratus unit rumah itu," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan