MELAKA: Remaja lelaki didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas kesalahan mengaibkan kehormatan seorang gadis dengan merakam video mangsa sedang mandi, tahun lalu.
Majistret, Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Syafiq Hidayat Mohd Syukur,19, selepas menerima pengakuan salahnya, menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan tertuduh dipenjara enam bulan jika ingkar membayar denda berkenaan. Setakat jam 4.30 petang tadi, tertuduh masih belum membayar denda dan ditahan di lokap mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan remaja perempuan berusia 19 tahun dengan merakam gambar mangsa sedang mandi tanpa pengetahuannya menggunakan telefon bimbit di sebuah rumah di Batu 4, Batu Berendam, di sini, pada 8 September 2025, kira-kira jam 5 petang.
Dengan itu tertuduh didakwa mengganggu kesantunan mangsa dan boleh dihukum mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sampai lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, laporan polis dibuat oleh bapa mangsa selepas mengetahui tertuduh merakam video anak perempuannya sedang mandi hingga mangsa tertekan dan takut.
Tertuduh yang juga jiran mangsa dikesan melakukan perbuatan itu beberapa kali.
Terdahulu, tertuduh berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu dan merayu dikenakan hukuman denda ringan atas alasan hanya mampu menyediakan RM300 sahaja selain perlu menanggung keluarga selepas ibu bapanya bercerai.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.
"Ini bukan kesalahan remeh... perbuatan tertuduh mengaibkan kehomatan dan mencabul hak mangsa untuk hidup selamat dan bebas daripada gangguan seksual.
"Perbuatan tertuduh memberi kesan kepada psikologi mangsa hingga malu dan takut. Ia adalah disengajakan dan bukan akibat kecuaiannya malah tertuduh mempunyai kawalan tetapi tetap melakukannnya," katanya.
























