KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan yang mendalam berhubung kes tikaman membabitkan pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) merakamkan simpati kepada mangsa yang cedera dan mendoakan mangsa segera sembuh sepenuhnya, di samping mengakui kesan emosi yang berat terhadap keluarga, warga sekolah serta seluruh komuniti murid yang terkesan akibat tragedi berkenaan.
Mengulas lanjut, CC mengingatkan semua pihak bahawa kedua-dua mangsa dan individu yang didakwa melakukan perbuatan itu adalah kanak-kanak.
Justeru, hak mereka dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang negara dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disertai Malaysia sejak 1995.
"Memandangkan kes ini masih dalam siasatan pihak polis, amat penting bagi semua pihak untuk menghormati sepenuhnya hak, maruah dan kepentingan terbaik setiap kanak-kanak yang terbabit sepanjang proses perundangan ini berlangsung," menurut kenyataan itu.
Pada masa yang sama, SUHAKAM menyatakan kebimbangan berhubung penularan meluas imej, rakaman video, maklumat peribadi serta pelbagai spekulasi tidak sah berkaitan kanak-kanak terbabit di platform media sosial dan aplikasi sembang.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu ditegaskan boleh mencetuskan kesan psikologi berpanjangan, mengundang stigma masyarakat, mengganggu proses siasatan rasmi, serta menjejaskan usaha pemulihan dan integrasi semula kanak-kanak berkenaan ke dalam komuniti pada masa hadapan.
Orang ramai, agensi media dan pengguna media sosial diingatkan bahawa Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 melarang sebarang penerbitan atau penyebaran maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak terbabit dalam prosiding.
Larangan ketat di bawah undang-undang itu merangkumi penyebaran nama, gambar, video, maklumat sekolah, butiran keluarga, alamat rumah atau apa-apa sahaja data yang boleh membawa kepada identiti kanak-kanak terbabit dikenali.
Mana-mana individu yang didapati melanggar peruntukan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Berkenaan laporan media yang memetik kenyataan peguam suspek bahawa kanak-kanak yang dituduh itu adalah seorang autistik, CC menegaskan bahawa status ketidakupayaan sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk mewujudkan stigma, memburukkan keadaan atau menghasut kebencian.
"Setiap kanak-kanak, termasuk golongan kurang upaya, mempunyai hak yang sama di bawah undang-undang untuk dihormati maruah mereka, mendapat layanan tanpa diskriminasi, serta akses kepada sokongan psikososial yang sewajarnya," jelas CC.
Sehubungan itu, SUHAKAM menyuarakan pentingnya memperkukuh langkah pencegahan keganasan di peringkat sekolah melalui pengesanan awal faktor risiko, penyediaan khidmat kesihatan mental yang mudah diakses, serta jalinan kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan agensi penguatkuasaan sebelum sesuatu krisis berlaku.
CC mengesahkan pihaknya akan terus memantau rapat perkembangan kes ini dengan bekerjasama bersama pihak berkuasa bagi memastikan kebajikan semua kanak-kanak yang terlibat dilindungi mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Anti-Buli 2026.
























