AMPANG JAYA: Polis giat mengesan dua remaja yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah mereka dalam kes berasingan kelmarin, masing-masing di Taman Melawati dan Ukay Perdana, di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, berkata dalam kes kehilangan remaja lelaki, N Barath, 14, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan remaja itu keluar dari rumah untuk membawa anjing peliharaan bersiar-siar pada jam 7 malam.
Bagaimanapun, katanya, remaja terbabit gagal pulang ke rumah sehingga jam 8 malam dan usaha pencarian dijalankan, namun menemui jalan buntu, sebaliknya anjing peliharaan terbabit ditemukan diikat pada pokok di tepi jalan berhampiran rumah mereka.
"Orang Hilang (OH) memakai seluar jeans berwarna hitam dan baju T berwarna biru. Remaja itu berketinggian kira-kira 155 sentimeter, berat 62 kilogram, berkulit gelap, berambut hitam dan tidak memakai cermin mata.
"Lokasi terakhir Barath dilaporkan di Jalan Permata 9, Taman Permata, Hulu Kelang," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42897222 atau pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Saiful Shahfuzi Mohd Radzi di talian 019-3202055.
Dalam kes berasingan, remaja perempuan, Qaseh Atika Mohd Naim Abdullah, 17, dilaporkan hilang di Ukay Perdana selepas bapanya mendapati remaja itu tiada di rumah mereka pada jam 8 malam kelmarin.
Khairul Anuar berkata, pihak sekolah juga memaklumkan Qaseh Atika tidak hadir ke sekolah semalam dan bapa remaja itu mengakui tiada perselisihan faham berlaku antara mereka serta tidak pasti punca anaknya keluar dari rumah.
Qaseh Atika berketinggian kira-kira 157 sentimeter dengan berat 45 kilogram, berbadan kurus dan berkulit sawo matang dengan lokasi terakhir dilihat di Jalan UP 3/7B, Ukay Perdana.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya atau pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faizah Mohd Anuar di talian 017-3422804.















