BH Online
Ringkasan Berita

Maut dilanggar lari ketika tukar tayar, polis kesan suspek

KAJANG: Seorang warga tempatan maut akibat dilanggar lari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova ketika berhenti menukar tayar pancit di kilometer (KM) 13.1 Lebuhraya Cheras-Kajang, di sini, semalam.
Maut dilanggar lari ketika tukar tayar, polis kesan suspek

KAJANG: Seorang warga tempatan maut akibat dilanggar lari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova ketika berhenti menukar tayar pancit di kilometer (KM) 13.1 Lebuhraya Cheras-Kajang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata kejadian berlaku kira-kira 10 malam ketika mangsa yang juga memandu MPV Toyota Innova bersama lima penumpang berhenti di bahu jalan untuk menukar tayar.

"Selepas selesai membaiki tayar yang pancit, mangsa berjalan ke belakang kenderaannya untuk mengalihkan sebuah baldi yang diletakkan sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Ketika mengalihkan baldi berkenaan, tiba-tiba datang sebuah MPV Toyota Innova berwarna merah melanggar mangsa dan lari meninggalkan lokasi kejadian tanpa berhenti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa berusia 46 tahun disahkan maut di lokasi kejadian dan pihak polis sedang giat mengesan suspek yang terbabit di dalam kemalangan itu.

Katanya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar insiden itu.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496.

"Pihak polis menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa berhati-hati semasa memandu," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan