PASIR PUTEH: Dua wanita warga Indonesia maut, manakala empat lagi cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pagar surau Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2, di Kilometer 3 Jalan Selinsing - Kok Lanas di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.34 pagi itu, mangsa yang berusia 67 tahun dan anak perempuannya berusia 45 tahun, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Kedua-dua mangsa berkenaan bersama empat lagi ahli keluarga mereka dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu, dipercayai mahu pulang ke negara mereka selepas menziarah ahli keluarga di Machang.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob, berkata kenderaan utiliti SUV dipandu wanita berusia 41 tahun dari arah Tok Bok Machang menghala ke Kota Bharu.
Katanya, kenderaan SUV berkenaan dinaiki oleh lima wanita dan seorang lelaki semua warga Indonesia berusia antara 34 hingga 67 tahun.
"Apabila sampai di lokasi kemalangan di simpang tiga hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pagar surau sekolah berkenaan.
"Mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang di belakang yang berada di sebelah kiri dan kanan kereta. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan semua mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dan dalam perjalanan untuk ke lapangan terbang untuk pulang ke Indonesia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat manakala penumpang yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, saksi kejadian, Ahmad Sidekky Abd Rahman, 50, berkata kejadian berlaku awal pagi ketika suasana masih gelap namun bersyukur kerana tidak membabitkan warga dan pelajar sekolah.
Katanya, dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah itu, antara yang terawal tiba di tempat kejadian dan menyaksikan kereta SUV remuk dengan semua mangsa masih berada dalam kenderaan.
"Awalnya kami sangka hanya ada tiga mangsa, rupanya enam orang kerana mereka bertindih dan dikeluarkan bomba kerana pintu tersepit. Hanya penumpang lelaki yang masih boleh bersuara ketika itu manakala mangsa lain cedera dan dihantar ke hospital," katanya.















