BH Online
Ringkasan Berita

Dua sahabat maut, motosikal langgar kerbau melintas

JELEBU: Dua rakan maut apabila motosikal ditunggang mereka melanggar seekor kerbau sedang melintas jalan di Kilometer 11 Jalan Lakai-Simpang Durian jam 3 pagi tadi.
Dua sahabat maut, motosikal langgar kerbau melintas

Dua remaja maut selepas motosikal ditunggang melaggar kerbau melintas di Kilometer 11 Jalan Lakai-Simpang Durian. - Foto ihsan Polis.

JELEBU: Dua rakan maut apabila motosikal ditunggang mereka melanggar seekor kerbau sedang melintas jalan di Kilometer 11 Jalan Lakai-Simpang Durian jam 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Superintendan Azizan Said, berkata siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan dua motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa berusia 17 dan 19 tahun.

Katanya kedua-dua mangsa dipercayai dari arah pekan Simpang Durian menghala ke Lakai dan melanggar seekor kerbau yang sedang melintas jalan.

"Kedua-dua mangsa cedera parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Jelebu untuk menerima rawatan. Mereka disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatanpada jam 4.05 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhammad Aidil Zafuan Sameon, 19, dan Muhammad Faisal Fauzan Faizal, 17 tahun.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 289 Kanun Keseksaan (kecuaian berkenaan dengan haiwan dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 (binatang peliharaan dibiarkan bebas berkeliaran di atas jalan raya).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Sub-Inspektor Abas Mohamed ditalian 010-8649229 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, Kharizal Hamzah, 47, bapa saudara kepada Allahyarham Muhammad Aidil Zafuan, berkata dia berjumpa dengan anak saudaranya kira-kira jam 9 malam semalam sebelum bertolak ke Terengganu mengikut rombongan ke negeri itu.

Katanya, bagaimanapun kira-kira jam 3 pagi tadi dia dihubungi ahli keluarga mengenai kemalangan yang berlaku.

"Malam kelmarin sebelum bertolak, Allahyarham ada berjumpa saya, sempat dia memeluk saya dan bertanya khabar saya. Allahyarham memang rapat dengan keluarga kami terutama dengan anak nombor dua," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Jelebu.

Kharizal berkata, sebaik diberitahu mengenai tragedi berkenaan, dia bergegas pulang bersama isteri menaiki penerbangan dari Kuala Terengganu.

Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lakai.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lakai Mohd Shahrir Ramli berkata, aduan mengenai kerbau di jalan raya berkenaan sudah banyak kali dibuat kepada pihak berkuasa namun tiada tindakan tegas yang diambil.

Katanya, sebelum ini pernah ada penduduk kampung nyaris kemalangan akibat tindakan pemilik yang melepaskan kerbau ke laluan utama.

"Malah haiwan itu juga kerap menceroboh tanah milik Orang Asli berhampiran dan aduan sama juga sudah dibuat oleh penduduk setempat," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan