KUALA NERUS: "Adik-adik pegang abang ni (mayat Ahmad Nasaruddin) jangan bagi lepas. Saya nak berenang pergi minta bantuan bot lain," kata Mohd Awais Saari, sebaik bot candat yang dikemudinya karam sebelum tenggelam ke dasar laut.
Kejadian berlaku ketika bot yang membawa 10 individu termasuk dua wanita itu berada pada jarak lima batu nautika dari Kuala Terengganu dekat perairan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, jam 8.40 malam tadi.
Mohd Awais yang berpengalaman lebih 10 tahun membawa bot candat berkata, dia berenang meredah gelombang dalam gelap bagi meminta bantuan bot lain yang berada kira-kira satu batu dari lokasi botnya karam.

Katanya, walaupun kejadian itu menyebabkan pembantunya yang juga sepupunya, Ahmad Nasaruddin Mohd Jalil, 37, meninggal dunia tetapi dia bersyukur kerana mayat lelaki itu dapat diselamatkan daripada dihanyutkan arus.
"Saya terima kasih dan kagum dengan pelanggan yang saya bawa kali ini, walaupun mereka baharu pertama kali turun ke laut tetapi mereka tidak panik dan tenang menghadapi situasi cemas itu.
"Walaupun ketika itu masing-masing terapung di permukaan air selepas bot tenggelam tetapi mereka masih boleh mendengar permintaan saya meminta memegang mayat sepupu supaya tidak hanyut," katanya ketika ditemui di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia ( LKIM) Seberang Takir, di sini malam tadi.
Mohd Awais berkata, Ahmad Nasaruddin meninggal dunia dipercayai tertelan air laut.
"Ketika itu dia berada di atas belakang saya. Saya tahu dia tidak pandai berenang dan meminta dia naik ke belakang dan memeluk leher saya sebelum dia meninggal dunia," katanya.
Beliau berkata, sebelum karam, dia menyedari air mula memasuki bahagian enjin sebelum paras air meningkat dengan cepat.
"Saya suruh sepupu naikkan tali sauh kerana saya nak gerakkan bot ke arah bot lain untuk minta bantuan tetapi tidak sempat. Lebih kurang 15 minit kemudian bot terus tenggelam. Kami semua sempat berpaut pada bot sebelum ia tenggelam sepenuhnya. Mujur semua penumpang memakai jaket keselamatan, jadi mereka terus terapung di permukaan air," katanya.
Bot yang membawa 10 pelanggan berusia lingkungan 20-an dari Kuala Lumpur itu dikatakan bertolak dari Jeti Kampung Batin, Seberang Takir menuju ke perairan itu jam 5.30 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata selain mangsa yang meninggal dunia, tiga mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
"Dua mangsa menerima rawatan pesakit luar dan sudah dibenarkan keluar, manakala seorang lagi masih menerima rawatan susulan," katanya.
Lagi berita berkaitan:
'Arwah banyak berkorban, tak fikir soal kahwin demi urus mak ayah uzur' - Abang Ahmad Nasaruddin'Arwah sempat selamatkan semua penumpang, akhirnya keletihan dan hilang tenaga' - Abang mangsaBot candat karam: Dia meninggal ketika berpaut di belakang saya - TekongKru maut, tiga cedera bot candat sotong karam
























