BERA: Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kenderaan di Kilometer 18, Jalan Temerloh-Bahau, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Mohamed Sharif Mohamed Ali, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Katanya, siasatan awal mendapati Mohamed Sharif yang memandu Perodua Alza sedang dalam perjalanan dari arah Triang menghala ke Temerloh.
"Pada masa sama Toyota Alphard yang dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah Kuala Lumpur menuju ke Triang tiba-tiba dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan.
"Akibatnya, ia merempuh Perodua Alza yang sedang bergerak lurus di laluan asal sehingga menyebabkan kenderaan mangsa terbabas ke bahu jalan.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai akibat kecuaian pemandu Toyota Alphard yang gagal mengawal kenderaannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkiflee berkata, pemandu Toyota Alphard cedera pada kaki manakala penumpang belakang kenderaan itu, seorang lelaki berusia 25 tahun, turut cedera pada kaki.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera untuk bedah siasat yang dijadualkan petang ini.
Katanya, saringan awal air kencing terhadap pemandu Toyota Alphard mendapati ia positif dadah jenis benzodiazepine (Benzo/Eremin 5).
"Suspek ditahan bagi membantu siasatan, manakala sampel darah dan air kencing turut diambil untuk analisis toksikologi.
"Kedua-dua kenderaan juga akan menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM manakala rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sudah dirampas bagi membantu siasatan," katanya.
Zulkiflee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
























