BH Online
Ringkasan Berita

Tiga warga China mengaku salah berjudi didenda RM5,000

GEORGETOWN: Tiga lelaki warga China masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah pertuduhan bermain judi di sebuah rumah perjudian terbuka di Gelugor, minggu lalu.
Tiga warga China mengaku salah berjudi didenda RM5,000

Tiga lelaki warga China masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah pertuduhan bermain judi di sebuah rumah perjudian terbuka di Gelugor, minggu lalu. - Foto NSTP/Auris Faqruzzi

GEORGETOWN: Tiga lelaki warga China masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah pertuduhan bermain judi di sebuah rumah perjudian terbuka di Gelugor, minggu lalu.

Tertuduh, Gao Yue, 25, Ma Wenlyu, 32 dan Ma Yucheng, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Said.

Berdasarkan pertuduhan, tiga lelaki terbabit secara bersama-sama didapati bersalah bermain judi dalam rumah perjudian terbuka di sebuah unit kondominium The Light Collection 1, Jalan Pantai Sinaran Gelugor jam 4.30 petang, 26 Jun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, K Mahendran dan Sharmila Mogan.

Semasa prosiding, Ahmad Danial memohon hukuman setimpal sebagai bentuk pengajaran terhadap semua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Sharmila memohon denda minimum berikutan semua anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga selain ia adalah kesalahan pertama mereka.

Beliau memaklumkan, tertuduh pertama serta ketiga iaitu Go Yue dan Ma Yucheng bekerja sebagai jurugambar dengan pendapatan sekitar RM2,000 perlu menanggung ibu bapanya yang sudah berusia di negara asal.

Ma Wenlyu pula yang bekerja di sektor logistik mempunyai tanggungan isteri dan dua anak yang masih kecil dengan pendapatan kira-kira RM2,500.

"Semua tertuduh telah menyesali perbuatan mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Saya percaya pengakuan bersalah mereka telah menjimatkan kos dan masa mahkamah.

Nadratun Naim kemudian menjatuhkan denda RM5,000 bagi setiap tertuduh dan mengarahkan mereka dipenjarakan selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Video Terkini

Berita Berkaitan